"Rinagang" merupakan salah satu dari sekian banyak pakaian tradisi Dusun Tindal. Perkataan rinagang atau rinagangan dipetik daripada bahasa Dusun, iaitu aragang yang bermaksud merah atau berwarna merah. Rinagang diertikan sebagai ‘dimerahkan’ sejajar dengan warna tali rotan (tuai) yang dimerahkan. Tali rotan tersebut telah disusun secara bergelung dan berfungsi sebagai pengikat kain (binidang). Busana tradisional Tindal, iaitu rinagang dinamakan oleh orang Dusun lain7 yang datang di kawasan petempatan Dusun Tindal. Mereka menggelarkan wanita Tindal sebagai aragang atau merah dan bererti wanita bujang (kerana warna merah melambangkan status bujang). Pemakaian rinagang juga menjadi tanda kecantikan seseorang wanita dalam etnik Tindal. Justeru, rinagang telah menjadi panggilan pada busana tradisional Tindal yang diguna pakai sehingga hari ini.
Komponen baju tradisi Rinagang yang lengkap terdiri daripada baju (binidang), skirt (gonob) dan hud (surunduk). Aksesori lain yang dibudayakan seperti rantai (karoh), tali rotan berwarna merah (rinagang) dan manik yang disulam (sinimpana).Pada umumnya, rekaan kain dalam busana rinagang tidak dibentuk seperti baju kebaya atau fesyen pakaian yang lain. Kain atau baju rinagang adalah berbentuk segi empat dan dijahit seperti kain sarung yang mempunyai saiz besar di bahagian atas dan bawah kain. Kain rinagang dihasilkan menggunakan bahan daripada urat daun nanas atau lamba yang dijadikan kain (binidang). Binidang juga diwarnakan menggunakan bahan alam yang dipanggil tahum9. Pada masa kini, binidang atau kain telah digantikan dengan kain baldu ataupun kain kapas.
_______________________________
Sumber artikel :
1. Pembudayaan Reka Bentuk Busana Tradisional Masyarakay Dusun Tindal Sabah : Gendang Alam, Jilid 7, 2017.
Gambar : para sumandak dan konduan Tindal pada zaman penjajahan British.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan